Saturday, January 8, 2011

Naluri & Firasat


Akal fikiran dan perasaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada setiap manusia merupakan satu keistimewaan yang membezakan antara manusia dengan makhluk ciptaan Nya yang lain. Akal fikiran dan perasaan ini pula dihiasi dengan naluri atau gerak hati sebagai pelengkap kejadian manusia itu sendiri. Seringkali manusia menggunakan naluri atau gerak hati ini dalam memandu mereka untuk membuat sesuatu keputusan mahupun sesuatu pertimbangan.

Anugerah Tuhan tidak sesekali mampu kita nafikan. Ada sesetengah individu yang sememangnya mampu meneroka alam psycic menerusi kelebihan naluri dan gerak hati yang dianugerahkan oleh Nya. Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa, naluri atau gerak hati merupakan salah satu daripada keistimewaan deria keenam yang sememangnya
dianugerahkan kepada manusia dengan tahap dan kemampuan yang berbeza-beza.

Antara naluri dan firasat…

Naluri dan firasat adalah sesuatu yang cukup berbeza. Naluri adalah gerak hati yang datang secara jujur dalam diri manusia itu sendiri. Firasat pula lebih cenderung kepada gerak hati yang lahir atas pertimbangan faktor-faktor luaran. Firasat mungkin datang daripada perasaan curiga, waspada dan lebih berbentuk ramalan.

Naluri dan firasat adalah sesuatu yang amat berbeza dan seringkali mengelirukan. Keduanya bergerak selari dan hampir seiring. Namun nyata, naluri adalah deria keenam yang cukup istimewa sementara firasat hanya sekadar satu ramalan yang dipertimbangkan oleh akal dan perasaan.

Secara keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa naluri adalah satu anugerah yang suci dan bersih dalam diri setiap individu. Ia wajar dipelihara agar naluri itu sendiri tidak tercemar dengan firasat yang seringkali dianggap sebagai `pembunuh’ kepada keistimewaan anugerah Tuhan itu. Naluri mendekatkan kita dengan Pencipta dan mendekatkan kita dengan kasih sayang. Keistimewaan ini dimiliki oleh semua orang tetapi pada tahap keupayaan yang berbeza-beza. Jadi, hargailah keistimewaan itu, manfaatkanlah ianya sebaik mungkin…

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...